” Pertanian Menjana Ekonomi Negara “
PERTANIAN DI KAMPUNG TERIANG
Terdapat segolongan penduduk Kampung Teriang yang menjadikan bidang pertanian sebagai sumber pendapat mereka sekeluarga. Mereka telah menjalankan projek pertanian Tanaman Kekal Kontan Berkelompok yang dipantau sepenuhnya dari Jabatan Pertanian Daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Antara jenis tanaman yang dijalankan adalah :
1.Durian
2. Serai
3. Sayur-sayuran seperti lada, terung, bendi, timun dan kacang panjang
4. Pisang – milik persendirian
Tanaman-tanaman ini diusahakan di sebuah kawasan di kampung yang mempunyai keluasan bersesuaian dengan jenis tanaman yang dilakukan. Walaupun ia mendapat pemantauan dari Jabatan Pertanian Daerah, namun segala pelaksanaan tanaman adalah secara persendirian oleh petani. Jabatan hanya membekalkan baja dan racun sahaja kepada petani. Namun untuk proses pembajakan, pihak Jabatan Pertanian Daerah akan melaksanakan kerja-kerja tersebut sepenuhnya.
Segala aktiviti tanaman ini di bawah pengurusan pihak balairaya Kampung Teriang. Para petani akan membuat urusan yang berkaitan secara terus melalui 3 orang pegawai yang bertugas di balairaya tersebut. Keluasan projek Tanaman Kekal Kontan Berkelompok ini adalah seluas 357.53 ekar iaitu dibahagikan mengikut:
JENIS TANAMAN |
JUMLAH (ORANG) |
Durian berkelompok |
37 |
Dusun berkelompok |
40 |
Jagung berkelompok |
25 |
Industri KPW |
15 |
Segala hasil yang diperolehi akan dipasarkan oleh petani tersebut melalui inisiatif mereka sendiri seperti membuka gerai di tepi jalan yang berdekatan.
SUMBER : PENGERUSI JKKK KG TERIANG ( EN. JAMALUDIN BIN WAHAB )
GETAH BEKU TINGKAT EKONOMI
Sumber pendapatan utama penduduk Kampung Kuala Klawang tentunya hasil daripada pertanian yang dijalankan iaitu penanaman getah. Manakala bagi yang menetap di Pekan Kuala Klawang pula, ramai yang bekerja di dalam sektor awam. Malah ramai juga kakitangan kerajaan yang turut bertani selepas jam 5.00 petang untuk menambah pendapatan.
Bagi penduduk Kampung Kuala Klawang dan sekitarnya, getah-getah yang dijual kepada peraih selalunya dari jenis getah beku. Dengan harga semasa RM4.20 sekilogram, purata pendapatan penduduk kampung setiap kali menjual getah dengan kekerapan dua kali seminggu ialah sekitar RM170.00. Walau bagaimanapun, pendapatan mereka bergantung pada keadaan cuaca. Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, selalunya pekebun kecil ini terpaksa menanggung kerugian. Ia juga bergantung kepada harga getah di pasaran.
Majoriti penduduk Kampung Kuala Klawang mempunyai kebun getah dengan keluasan minimum 0.6 hektar. Dengan keluasan kebun yang tidak seberapa itulah mereka mencari rezeki. Selalunya mereka akan menghantar getah beku kepada peraih getah sekitar pukul 10.00 pagi.
Selain berkebun, penduduk di kampung Kuala Klawang juga turut mengusahakan tanaman buah-buahan bermusim seperti durian, manggis, langsat dan beberapa jenis buah bermusim yang lain. Maka tidak hairanlah jika kena musimnya, buah-buahan tersebut dapat dibeli dengan harga yang cukup murah di kawasan ini.
KG GAGU MASIH MENGEKALKAN TRADISI DAN IDENTITI
Kampung Gagu merupakan sebuah kampong di daerah Jelebu, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya kampong yang masih mengekalkan tradisi dan memegang teguh budaya dibawah oleh nenek moyang dari keturunan Minangkabau.
Acara gotong royong khususnya ketika menyambut perayaan dan juga meraikan kehadiran pemimpin menjadi amalan oleh masyarakat kampung ini. Turun ke sawah beramai-ramai merupakan acara gotong royong yang telah diamalkan sejak dulu. Masyarakat kampung akan turun ke sawah bersama-sama untuk menanam padi, kemudiannya selang beberapa bulan turun sekali lagi untuk mencabut rumput dan membersihkan bendang. Dan setelah padi masak turun beramai-ramai untuk menuai bersama. Budaya sebegini akan menimbulkan rasa kebersamaan dan kerjasama antara satu dengan yang lain.
Acara sebegini dapat dilihat apabila pada 7 Disember 2014 yang lalu, masyarakat menyambut kedatangan pemimpin mereka Tan Sri Dr. Rais Yatim. Disamping melakukan acara gotong royong turun ke sawah dan menyauk ikan, Tan Sri Rais didendangkan dan dihiburkan dengan pertunjukan randai dengan pantun dan sya’ir nasihat. Tan Sri Rais juga mengambil bahagian dengan berpantun bergantian dengan pemain randai. Dani Rais selaku pengarah menyatakan bahawa rangkaian acara yang diadakan merupakan upaya pelestarian budaya masyarakat Kampung Gagu terutama pemuda-pemudi yang diharapkan terus berkarya dan mengamalkan adat budaya.
Sebelum itu, ketibaan Tan Sri Dr. Rais di Kampung Gagu pada jam 11.45 pagi disambut meriah oleh masyarakat kampung dengan pertunjukan silat oleh pemuda kampong. Kemudian Tan Sri Dr. Rais memimpin masyarakat menyauk ikan. Masyarakat Kampung Gagu teruja dan gembira dengan kehadiran pemimpin kesayangan mereka.